top of page

Hadis 7 Golongan yang Mendapat Naungan Allah Pada Hari Kiamat Kelak

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, '7 golongan manusia yang dinaungi Allah SWT di bawah naungan-Nya pada hari kiamat, iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah, iaitu: Pemerintah (Pemimpin) yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Allah SWT, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya bertemu dan berpisah semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk melakukan zina dengannya lalu ia menolak dengan berkata, "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau memperingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, disaat itu menitis air matanya kerana merasakan keagungan dan kebesaran Allah SWT', (Muttafaqun A'laih)

 

 

 

Adab-Adab Yang Perlu Kita Sebagai Seorang Pelajar Islam Amalkan

 

Terdapat banyak adab dalam ajaran Islam untuk rujukan kita semua sebagai seorang yang bergelar Islam. Terdapat juga beberapa adab yang perlu kita ketahui, antaranya Adab kepada Allah dan Rasul, Adab Berzikir, Adab Berpakaian, Adab makan, Adab Belajar, Adab Terhadap Sahabat dan sebagainya.

 

Disini, ingin ditekankan kepada diri saya dan sahabat-sahabat tentang Adab Belajar (menuntut ilmu). Terdapat tiga keadaan dalam adab menuntut ilmu, iaitu sebelum, semasa dan selepas.

 

Sebelum memulakan pembelajaran, seorang pelajar itu mestilah memilih makanan yang suci, halal, bersih dan berkhasiat bagi mendapat keberkatan dan menguatkan daya ingatan. Sebelum memulakan pembelajaran, pelajar juga diingatkan supaya mengelakkan makan terlalu kenyang dan banyak tidur kerana ia menyebabkan lemah daya fikiran dan menyebabkan seseorang pelajar itu bersifat malas. Pelajar juga diingatkan supaya tidak melakukan perkara maksiat kerana ia boleh mengotorkan hati dan menjauhkan lagi diri kita dari mendapat keberkatan daripada Allah SWT. Sebelum belajar juga, pelajar perlu mengikhlaskan diri dan niat untuk belajar semata-mata kerana Allah SWT.

 

Semasa pembelajaran berlangsung pula, pelajar perlu memuliakan dalam konteks menghormati guru/pensyarah serta bertawadhu' kepadanya. memberikan tumpuan kepada pelajaran dengan penuh kesungguhan. Mengambil catatan tanpa jemu kemudian mengatur dan menyusunnya dengan rapi. Walaupun ada "slide power point", tidak semestinya kita tidak perlu mencatit atau hanya mengambil gambar dengan menggunakan telefon bimbit (bukan tidak boleh menggunakan cara tersebut, tapi tidak digalakkan), kerana sesuatu ilmu itu tidak lengkap jika tidak diakhiri dengan penulisan.

 

Selepas pembelajaran pula, pelajar juga perlulah mengamalkan ilmu yang telah dipelajari selagi tidak bercanggah dari syariat Islam serta mengelakkan daripada sikap menyembunyikan ilmu, kerana perbuatan tersebut adalah tidak patut dilakukan oleh seorang pelajar dalam mencari keberkatan dalam menuntut ilmu. Sebagai seorang pelajar yang inginkan keberkatan dalam menuntut ilmu, dia perlulah menyebarkan ilmu yang dipelajari kerana dengan menyebarkan ilmu yang bermanfaat, besar ganjaran pahalanya.

 

Oleh itu, biarlah kita dikenali sebagai pelajar yang beradab, bukan pelajar yang biadap. Wallahualam. :)

 

 

Buat Diriku Yang Mudah Lupa

bottom of page